Menurut En. Ridzuan terdapat tiga teknik dalam penghasilan labu sayong iaitu:
Teknik Picit
Teknik Lingkaran
Teknik Acuan
Teknik Picit
Bagi menghasilkan labu sayong dengan menggunakan teknik picit ini perlu melalui beberapa proses.
Tanah liat perlu dijemur terlebih dahulu.
Kemudian tanah tadi ditumbuk sehingga halus dengan menggunakan lesung kaki. Tetapi kini lesung kaki jarang digunakan kerana mempunyai mesin untuk menghaluskan tanah tersebut.
Selepas ditumbuk halus, tanah tadi perlu diayak bagi mengasingkan benda-benda asing yang terdapat di dalam tanah tersebut.
Setelah itu, uli tanah tersebut dengan air dan perapkan ia selama semalaman.
Setelah diperap semalaman, tanah tadi bolehlah dibentuk. Dengan menggunakan pinggan, tanah tadi akan diletakkan di atas pinggan dan dipicit bagi membentuk sambil memusingkan pinggan tersebut.
Setelah siap dibentuk, labu sayong tadi perlulah dilicinkan terlebih dahulu sebelum diukir. Dalam proses melicinkan labu sayong, batu sungai boleh digunakan kerana permukaannya yang licin. Selain daripada batu sungai, benda-benda lain yang mempunyai permukaan yang licin juga boleh digunakan.
Kemudian labu tadi bolehlah diukir atau ditekap dengan menggunakan kulit kerang ataupun kayu yang telah diukir. Pada kebiasaannya corak yang sering dihasilkan adalah corak berbentuk daun dan bunga.
Proses yang terakhir adalah membakar labu sayong tersebut. Tujuannya adalah bagi menguatkan lagi tanah liat yang telah dibentuk. Proses membakar mengambil masa 7 hingga 8 jam. Setelah siap dibakar labu sayong tadi perlulah dibiarkan selama beberapa jam bagi menyejukkan labu tersebut.
Labu Sayong
Tanah liat yang belum diproses.
Labu Sayong untuk menyimpan air
Labu Sayong
Teknik Lingkaran
Proses untuk membuat labu sayong dengan menggunakan teknik lingkaran ini sama seperti teknik picit. Perbezaan diantara tenik picit dan teknik lingkaran adalah teknik picit menggunakan pinggan untuk membentuk manakala teknik lingkaran menggunakan roda pemutar.
Teknik Lingkaran
Teknik Acuan
Teknik Acuan ini menggunakan acuan untuk membentuk labu sayong. Teknik acuan ini dapat menghasilkan banyak produk labu sayong dalam satu-satu masa. Terdapat beberapa proses yang terlibat dalam menghasilkan labu sayong dengan menggunakan teknik acuan ini.
Tanah liat, air dan sodium perlu dicampurkan ke dalam mesin penghancur. Sodium digunakan untuk menguatkan lagi tanah supaya tanah tidak mudah pecah.
Kemudian tapis campuran tadi bagi membuang benda asing.
Setelah itu, tuangkan campuran tadi ke dalam acuan dan biarkan selama 2 hingga 3 jam.
Selepas bahagian tepi mula mengering, tebuk sedikit lubang diatas untuk mengeluarkan cairan yang berada di tengah dan keluarkan labu sayong tersebut daripada acuan.
Labu yang telah dikeluarkan dibiarkan selama sehari kerana tanah masih lagi lembut dan tidak boleh dilicinkan dan diukir.
Selepas dibiarkan sehari, barulah labu tadi boleh dilicin, diukir dan diwarnakan.
Setelah labu siap dihias, labu tersebut akan dibakar.